KUALA LUMPUR– Kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Move Robotic Sdn Bhd terus memperkukuh pembangunan bakat serta teknologi dalam bidang robotik, automasi dan sistem autonomi.
Kerjasama itu turut diperkukuh menerusi penglibatan Ketua Pegawai Eksekutif Move Robotic Mohd Hazeli Rasul sebagai Profesor Adjung di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) UMPSA, di bawah inisiatif CEO@Faculty universiti berkenaan.
Pengalaman Mohd Hazeli dalam industri robotik dan automasi turut dimanfaatkan dalam pembangunan kurikulum, peningkatan kompetensi graduan serta penyelarasan program akademik dengan keperluan teknologi industri.
Beliau sebelum ini turut berperanan sebagai Penasihat Industri FTKPM, sekali gus menyumbang pandangan strategik dalam usaha melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran teknikal serta kebolehpasaran tinggi.
Antara hasil kerjasama itu ialah pembangunan program profesional dalam Kejuruteraan Digital dan Prototaip berasaskan Robot Operating System (ROS) bersama Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii), yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknologi robotik moden, pengaturcaraan ROS, integrasi sistem, prototaip digital dan aplikasi automasi industri.
Kerjasama UMPSA dan Move Robotic turut meliputi bidang penyelidikan menerusi projek AEROGROUND: Investigation of Autonomous Aero-Ground Robot for Surveillance and Reconnaissance – Artificial Intelligence Driven Navigation with Secure Edge Computing Integration.
Projek bernilai RM1.4 juta itu menerima pembiayaan Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan diketuai Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria dari FTKPM.
Projek berkenaan melibatkan kerjasama UMPSA, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan fokus membangunkan sistem robotik autonomi darat-udara bagi tujuan pemantauan, penjejakan dan tindak balas terhadap cabaran keselamatan negara.
Selain penyelidikan dan pembangunan bakat, kerjasama itu turut diperluas kepada pembangunan model kompetensi dalam bidang mekatronik, robotik dan kenderaan autonomi untuk staf serta pelajar UMPSA.
Dalam perkembangan berkaitan, Move Robotic pada 12 Ogos lepas menandatangani perjanjian pelaburan dengan VentureTECH Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada suntikan keseluruhan RM28 juta kepada tiga syarikat teknologi Bumiputera.
Pelaburan itu dijangka menyokong pengembangan perniagaan Move Robotic dalam penyelesaian automasi gudang dan logistik serta penerokaan pasaran baharu.
Syarikat berkenaan memberi tumpuan kepada penyelesaian yang menggabungkan autonomous mobile robots (AMR), automated storage and retrieval systems (ASRS), pallet shuttle systems serta perisian pengurusan gudang dan armada robot yang dibangunkan sendiri.
Move Robotic turut menawarkan pendekatan Robot-as-a-Service (RaaS), yang membolehkan pelanggan menggunakan teknologi automasi tanpa memerlukan pelaburan modal awal yang besar.
Perkembangan itu memperlihatkan potensi kerjasama universiti-industri dalam menghasilkan impak lebih luas meliputi pendidikan, penyelidikan, pembangunan produk, pengkomersialan teknologi dan peningkatan kompetensi tenaga kerja.
Kerjasama berkenaan juga selari dengan aspirasi Pelan Strategik UMPSA 2030 untuk memperkukuh hubungan industri, meningkatkan kompetensi bakat serta mempercepat pemindahan teknologi daripada universiti kepada industri, sekali gus menyokong pembangunan ekosistem teknologi negara.


Leave a Reply