Home / Utama / UTeM sokong kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi negara

UTeM sokong kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi negara

MELAKA– Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berhubung cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta perancangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membangunkan kerangka perundangan baharu yang lebih komprehensif bagi pendidikan tinggi negara.

UTeM dalam kenyataan berkata pihaknya senada dengan hala tuju KPT seperti digariskan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 melalui agenda pembentukan One Higher Education Act (OHEA).

Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan merupakan langkah penting bagi memastikan kerangka perundangan pendidikan tinggi negara kekal relevan dengan perubahan landskap pendidikan tinggi, selain memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik, suara mahasiswa, tadbir urus dan akauntabiliti universiti.

“UTeM bersedia memberikan kerjasama bersepadu dalam segenap konteks berkaitan kepada KPT dan semua pihak berkepentingan dalam proses libat urus serta pembangunan kerangka perundangan baharu ini,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, UTeM berpandangan penelitian terperinci perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi serta peranan universiti dalam pembangunan mahasiswa, masyarakat dan negara.

Universiti itu berkata pembaharuan berkenaan diharapkan dapat menyokong usaha melahirkan mahasiswa dan komuniti yang berilmu, mempunyai keupayaan pemikiran yang tinggi, bertanggungjawab dalam setiap tindakan serta mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan universiti dan negara.

“Hal ini menjadi tunjang dalam memastikan institusi pendidikan tinggi terus berada pada kedudukan sebagai rujukan utama keilmuan dan peradaban, selain berupaya menjana generasi yang berdaya saing tinggi di persada negara dan peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *