TANJONG MALIM – Buku cerita dan bahan pengajaran berimej pegun kini boleh ‘dihidupkan’ dalam bentuk animasi interaktif menerusi teknologi Motion Augmented Reality (MAR), sekali gus menawarkan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan bermakna.
Sehubungan itu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi menganjurkan Bengkel Pembinaan Buku Cerita Berasaskan Motion Augmented Reality (MAR) dari 11 hingga 13 Ogos lalu.
Timbalan Pengarah program yang juga Guru Bahasa Arab, Akademi Bahasa Antarabangsa (AKAR), , Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ariza Abdullah berkata bengkel diadakan di bawah Program Pemindahan Ilmu (KTP) bagi membimbing pendidik, staf akademik dan pelajar menguasai proses penghasilan buku cerita interaktif.
Beliau berkata ia bermula dengan pembinaan jalan cerita, seni prompting, penjanaan ilustrasi, penghasilan animasi sehinggalah penerapan elemen augmented reality dalam buku dan bahan pengajaran.
Katanya, peserta turut mempelajari penggunaan platform teknologi seperti Grok dan Artivive untuk mengubah ilustrasi pegun kepada animasi yang boleh diakses menggunakan telefon pintar.
Melalui pendekatan itu, katanya, pembaca bukan sahaja dapat membaca teks dan melihat ilustrasi, malah boleh mengimbas bahan berkenaan untuk menikmati kandungan digital serta pergerakan watak secara interaktif.
Dr Ariza berkata, teknologi MAR berpotensi digunakan dalam pembelajaran bahasa, pendidikan awal kanak-kanak dan pengajaran murid yang memerlukan rangsangan visual serta bahan pembelajaran interaktif.
Program itu, katanya, dilaksana berasaskan Geran Penyelidikan Pendidikan Guru Bahasa di bawah Skim Geran Penyelidikan Strategik Komprehensif sebelum diperluaskan sebagai inisiatif pemindahan ilmu kepada warga pendidik.
Ia terbahagi kepada tiga fasa iaitu Fasa Pertama dilaksanakan dalam bentuk latihan kepada jurulatih atau training of trainers (TOT), membabitkan ahli geran dan pelajar pelaksana pada 21 Julai lalu.
“Peserta yang dilatih kemudiannya membantu pelaksanaan Fasa Kedua, manakala Fasa Ketiga peserta memperluaskan perkongsian ilmu ini kepada lebih ramai pendidik dan pihak yang berminat,” katanya.
Katanya, peserta komited membangunkan projek masing-masing sehingga ada yang berjaya menyiapkan buku cerita, manakala peserta lain menghasilkan animasi dan demonstrasi AR bagi ilustrasi yang dibangunkan.
” Perubahan imej pegun kepada animasi yang dapat bergerak apabila diimbas menggunakan peranti pintar memberikan pengalaman baharu kepada peserta dan memperlihatkan potensi teknologi MAR dalam pengajaran dan pembelajaran.
Pensyarah Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), UPSI, Dr Nur Syuhada Mat Sin yang bertindak sebagai pembimbing berkongsi kepakaran mengenai pembinaan cerita, seni menghasilkan arahan AI yang berkesan, penjanaan ilustrasi, animasi serta pembangunan elemen AR.
Program yang membuka ruang kolaborasi bersama Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) itu berupaya membantu pembangunan projek buku cerita “Dani dan Dina” .
Pengarah NCDRC, Dr Mazlina Che Mustafa dan Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi NCDRC, Dr Intan Farahana Abdul Rani menyokong usaha itu selain Dekan FBK, Profesor Madya Dr Mazura@ Mastura Muhammad; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FBK, Dr Alizah Lambri; serta Pengarah Akademi Bahasa Antarabangsa (AKAR), Dr Mazlin Mohamed Mokhtar.
Beliau berkata pelaksanaan program dibiayai menerusi peruntukan FBK daripada tabung AKAR sebagai usaha fakulti memperluaskan hasil penyelidikan dan kepakaran universiti untuk kegunaan pendidik serta masyarakat.
“Harapan kami adalah supaya teknologi ini tidak kekal sebagai inovasi di universiti sahaja, tetapi benar-benar sampai kepada guru, murid dan masyarakat serta dimanfaatkan dalam situasi pengajaran sebenar,” katanya


Leave a Reply