oleh Editorial KampusKini
BANGI – Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini tampil dengan kubah baharu berpanel enamel berwarna emas sebagai sebahagian daripada projek naik taraf masjid yang bermula sejak akhir 2024.
Kubah yang menggunakan reka bentuk panel berbentuk sisik ikan itu dibina bagi menggantikan kubah tembaga lama, selain memperkukuh struktur bumbung masjid menerusi penggunaan sistem pembinaan moden.
Majlis Perasmian dan Kesyukuran Sempena Kubah Baharu Masjid UKM disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Ts Dr Norinsan Kamil Othman.
Pembinaan kubah baharu itu menggunakan kepingan panel keluli tahan karat premium (stainless steel) yang disusun secara bertingkat, dengan pemasangan berasaskan kerangka besi prazink bagi memastikan struktur lebih kukuh dan tahan terhadap cuaca ekstrem.
Struktur kubah berkenaan turut melibatkan 57 tingkat panel bermula dari tapak struktur kubah.
Penggantian kubah menggunakan sistem panel moden itu bukan sahaja memperbaharui penampilan seni bina masjid, malah bertujuan meningkatkan ketahanan struktur bumbung bagi memastikan kemudahan berkenaan terus dimanfaatkan warga universiti.
Kubah baharu itu turut menyerlahkan keindahan seni bina Masjid UKM sebagai mercu tanda universiti serta pusat ibadah dan aktiviti keagamaan warga kampus.
Photo credit dan sumber: Facebook Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Leave a Reply