oleh Editorial KampusKini
BINTULU – Program Hari Riang Ria 4.0 anjuran Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) memberi peluang kepada masyarakat, khususnya kanak-kanak, mengenali dunia haiwan dan hidupan akuatik menerusi pendekatan pembelajaran secara santai dan interaktif.
Program selama dua hari bermula 31 Oktober hingga 1 November di kawasan parkir Dewan Sri Kenyalang, UPMS itu dianjurkan Kelab Sains Perikanan dan Haiwan (KESPH) sempena Pesta Konvokesyen (Peskon) UPMS 2026 bagi memeriahkan sambutan Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-50.
Pengarah program Alya Abdul Hatta berkata penganjuran itu bertujuan memperkenalkan aktiviti kelab serta memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai aplikasi praktikal ilmu yang dipelajari mahasiswa, khususnya dalam bidang kesihatan haiwan dan peternakan.
Beliau berkata pendekatan pembelajaran sambil bermain yang diketengahkan turut membolehkan kanak-kanak dan keluarga memperoleh pengetahuan baharu berkaitan kesihatan serta penjagaan haiwan.
Antara aktiviti yang disediakan ialah zoo mini, pameran hidupan akuatik, penerokaan mikroskopik serta jualan seni dan kraf.
Program itu turut mempamerkan hasil kerja akademik pelajar Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan semester tiga, termasuk model tiga dimensi (3D) rumah sembelih bagi memperlihatkan aplikasi pengetahuan yang dipelajari dalam bentuk praktikal.
Penganjuran program berkenaan turut mendapat kerjasama strategik Jabatan Pertanian Bintulu dan Pertubuhan Peladang Bintulu, dengan bimbingan penasihat program Prof Madya Dr Juriah Kamaludeen.
Pihak penganjur berharap kerjasama itu dapat diteruskan bagi memperkukuh pembangunan akademik dan kemahiran mahasiswa, selain memperluas penyampaian ilmu berkaitan pertanian serta haiwan kepada masyarakat setempat.
Photo credit dan sumber: Facebook Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS)


Leave a Reply