oleh Muhamad Asril Hakimi Ibrahim
KUALA TERENGGANU – Inisiatif Dapur Minda University College Bestari (UC Bestari) yang menyediakan makanan pada harga berpatutan telah memberi manfaat kepada lebih 1,000 mahasiswa sejak diperkenalkan pada 28 Mac 2019, khususnya golongan asnaf dan anak yatim.
Inisiatif itu bertujuan membantu meringankan beban mahasiswa menerusi penyediaan makanan yang bersih, berkualiti dan berkhasiat, sekali gus memastikan kebajikan serta keperluan asas mereka terus diberikan perhatian sepanjang tempoh pengajian.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UC Bestari, Prof Madya Abdul Razak Salleh berkata Dapur Minda bukan sekadar menyediakan kemudahan makanan, malah sebahagian daripada usaha universiti mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan prihatin.
“Bagi pihak universiti, kebajikan mahasiswa merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu diberikan perhatian secara berterusan. Kami mahu memastikan mahasiswa, khususnya mereka yang memerlukan, dapat menjalani kehidupan kampus dengan lebih selesa dan memberikan tumpuan kepada pengajian masing-masing,” katanya.
Selain membantu memenuhi keperluan pemakanan mahasiswa, Dapur Minda turut berpotensi menjadi platform pembangunan kemahiran dalam bidang keusahawanan dan pengurusan makanan melalui pendedahan kepada operasi serta pengendalian perkhidmatan.
Inisiatif berkenaan turut mendapat sokongan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta agensi luar bagi memastikan kelangsungan pelaksanaan program kebajikan itu.
Menerusi slogan “Mengenyangkan Perut, Menyuburkan Minda, Membina Masa Depan”, Dapur Minda menjadi antara usaha UC Bestari dalam memperkukuh kesejahteraan mahasiswa, selain menyokong pembangunan insan secara menyeluruh.


Leave a Reply