oleh Editorial KampusKini
SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperluas inisiatif kesejahteraan mahasiswa menerusi pelancaran Pitstop HEP @ Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) dan Dapur Ehsan UiTM yang menyediakan peluang penjanaan pendapatan serta latihan keusahawanan kepada pelajar.
Inisiatif itu menggabungkan bantuan kebajikan, peluang pekerjaan sambilan dan pengalaman mengendalikan perniagaan sebenar bagi membantu mahasiswa meningkatkan kemahiran serta keupayaan ekonomi sepanjang tempoh pengajian.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Prof Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata kesejahteraan mahasiswa tidak seharusnya terhad kepada penyediaan bantuan keperluan asas, sebaliknya perlu merangkumi peluang menjana pendapatan dan membangunkan potensi diri.
“Kesejahteraan mahasiswa bukan sekadar memastikan keperluan asas mereka terbela, tetapi turut membuka peluang menjana pendapatan, membina kemahiran dan membentuk jiwa keusahawanan agar mereka mampu berdikari sejak di bangku universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kedua-dua inisiatif itu di Young Engineer Creative Centre (YECC), FKA, UiTM Shah Alam, baru-baru ini.
Pitstop HEP yang merupakan inisiatif Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM menyediakan ruang rehat, kemudahan sokongan serta makanan dan minuman ringan secara percuma, khususnya kepada mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan.
Peranan kemudahan itu kini diperluas menerusi aktiviti keusahawanan dan peluang pekerjaan sambilan selaras dengan inisiatif MySISWA Job on Campus (MySISWA@JoC) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menggalakkan mahasiswa menjana pendapatan sambil belajar.
Sementara itu, Dapur Ehsan UiTM diperkenalkan sebagai inkubator keusahawanan pertama hasil kerjasama strategik dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), dengan FKA dipilih sebagai fakulti perintis.
Operasi perniagaan itu dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa FKA di bawah bimbingan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM, dengan sokongan pembekalan dan pengoperasian daripada PKPS.
Menerusi pendekatan itu, mahasiswa diberi tanggungjawab mengurus operasi perniagaan termasuk pengurusan stok, kewangan, pemasaran dan perkhidmatan pelanggan bagi memberikan pengalaman langsung dalam dunia keusahawanan.
Selain itu, Kiosk We Drink yang beroperasi menerusi kerjasama Ar-Rizqi Fortune menyediakan peluang pekerjaan sambilan dan latihan praktikal kepada mahasiswa daripada golongan asnaf serta keluarga B40 dalam pengendalian perniagaan minuman dan aiskrim.
Penglibatan persatuan dan kelab mahasiswa dalam aktiviti perniagaan di Pitstop HEP turut memberi pendedahan kepada aspek kepimpinan, pengurusan kewangan, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah.
Inisiatif berkenaan selari dengan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2026–2030 serta Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 yang menekankan pembangunan graduan berdaya saing, inovatif dan mempunyai ciri keusahawanan.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi PKPS Ehsan Marketing Md Fazir Abdul Latif dan Ketua Pegawai Eksekutif Ar-Rizqi Fortune Ariifien Ismail.


Leave a Reply