MELAKA – Seramai 672 graduan Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (ICYM) menerima pengiktirafan pada Majlis Konvokesyen ICYM Kali Ke-22 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), baru-baru ini.
Majlis penganugerahan disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah ICYM Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, sekali gus meraikan pencapaian graduan daripada pelbagai bidang pengajian yang ditawarkan institusi itu.
Ditubuhkan pada 1997, ICYM menawarkan program dalam bidang perniagaan dan hospitaliti, media kreatif dan sains sosial serta teknologi, selain menyediakan laluan pengajian diploma dan ijazah menerusi kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Dengan sokongan lebih 750 rakan industri, ICYM turut memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan kerja (Work-Based Learning atau WBL) bagi membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan teori dalam persekitaran pekerjaan sebenar.
Pendekatan itu bertujuan meningkatkan kemahiran profesional dan kesediaan graduan menghadapi alam pekerjaan, selaras dengan keperluan industri yang sentiasa berubah.
Sebagai institusi yang menawarkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), ICYM turut memberi perhatian kepada bidang digital dan kecerdasan buatan (AI), selain membuka peluang kepada pelajar mendapatkan pendedahan melalui latihan industri antarabangsa.
Majlis konvokesyen itu mencerminkan perjalanan ICYM yang menghampiri tiga dekad dalam menyediakan peluang pendidikan dan pembangunan kemahiran kepada generasi muda.


Leave a Reply