oleh Editorial KampusKini
JITRA – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) terus memperkukuh hubungan pendidikan dan industri bagi merapatkan jurang ketidakpadanan kemahiran serta melahirkan bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK Tuan Haji Ulaimi Yahya berkata hubungan berkenaan perlu diperkukuh secara berterusan berasaskan keperluan sebenar sektor pekerjaan dan perkembangan kompetensi masa hadapan.
Beliau yang mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti berkata bakat TVET bukan sahaja perlu menguasai kompetensi teknikal, malah perlu dilengkapi kemahiran dalam kecerdasan buatan (AI), automasi, analitik data, kelestarian, komunikasi dan penyelesaian masalah.
“Keperluan ini penting bagi memastikan graduan TVET sentiasa relevan dengan perkembangan industri berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV),” katanya ketika merasmikan POLYCC Industry Education Centre (IEC) 2026 di sini hari ini.
IEC 2026 menjadi platform memperluas kolaborasi, perkongsian kepakaran serta pemindahan teknologi dan amalan industri menerusi integrasi Centre of Technology (COT), Industry on Campus (IOC) dan Reskilling and Upskilling Centre (RUC).
Inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan kompetensi tenaga kerja sedia ada melalui pendekatan peningkatan dan latihan semula kemahiran, selaras dengan perubahan teknologi serta keperluan ekonomi semasa.
Pada program itu, kecemerlangan institusi POLYCC turut diiktiraf menerusi pengiktirafan COT, IOC dan RUC, termasuk Best Overall COT 2 Star Rating yang masing-masing diraih Media Creative Centre (MCC), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS); Centre of Architecture Technology (CArT), Politeknik Port Dickson (PPD) dan Automotive Technology Centre (ATeC), Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA).
Bagi Best Overall COT 3 Star Rating pula, pengiktirafan diberikan kepada Centre of Technology in Marine Engineering (CTME), Politeknik Ungku Omar (PUO); Centre for Medical Electronic Technology (CMET), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan Polytechnic Centre of Automotive and Manufacturing (POLCAM), Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS).
Sementara itu, Politeknik METrO Kuala Lumpur dan Kolej Komuniti Sungai Petani masing-masing menerima pengiktirafan IOC Terbaik Keseluruhan bagi kategori Politeknik dan Kolej Komuniti.
Northern Advanced Reskilling and Upskilling Centre (NARUC), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) dan Centre of Advanced Automotive Training (CoAT), Kolej Komuniti Kepala Batas pula menerima Anugerah RUC Terbaik bagi kategori masing-masing.
Dalam perkembangan sama, DAIKIN Centre of Air-Conditioning & Refrigeration (CARE), Politeknik Ungku Omar menerima Anugerah Industri Terbaik COT, manakala 9B Coffee (M) Sdn. Bhd., Kolej Komuniti Sungai Petani menerima Anugerah Industri Terbaik IOC.
Program berkenaan turut menyaksikan pelancaran Buku Garis Panduan Pelaksanaan Centre of Technology (COT) JPPKK sebagai panduan memperkasa pelaksanaan COT dalam ekosistem POLYCC.
Turut hadir barisan pengurusan JPPKK, pengarah-pengarah politeknik dan kolej komuniti serta wakil industri.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Politeknik.kolejkomuniti


Leave a Reply