Home / Utama / UPM susun hala tuju lima tahun, pacu penyelesaian cabaran negara dan dunia

UPM susun hala tuju lima tahun, pacu penyelesaian cabaran negara dan dunia

oleh Editorial KampusKini

SERDANG– Universiti Putra Malaysia (UPM) menyusun hala tuju lima tahun menerusi Pelan Strategik UPM 2026–2030 (PSUPM 2026–2030) bagi menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi terhadap cabaran negara dan dunia.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata kekuatan ilmu, kepakaran dan sumber yang dimiliki UPM perlu diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat nyata kepada rakyat, khususnya dalam menghadapi isu keterjaminan makanan, perubahan iklim dan perubahan persekitaran global.

“Universiti bukan hanya tempat melaksanakan program dan aktiviti, tetapi sebuah institusi ilmu yang harus menjadi pemacu penyelesaian, pencetus perubahan dan pembina masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran PSUPM 2026–2030 di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UPM Datuk Sri Jailani Johari dan Naib Canselor UPM Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Beliau berkata pendekatan berorientasikan misi yang diterapkan UPM membolehkan universiti menggembleng kepakaran pelbagai bidang bagi menghasilkan penyelesaian yang selari dengan aspirasi Malaysia MADANI serta 10 Lonjakan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

Dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan, beliau mahu kepakaran UPM dalam agroteknologi, kejuruteraan genetik dan pertanian tepat dimanfaatkan bagi meningkatkan pengeluaran domestik, mengurangkan kos sara hidup serta memperkukuh kedaulatan makanan negara.

Bagi aspek kesihatan planet dan kelestarian pula, beliau berkata kepakaran UPM berpotensi menyumbang kepada penyelesaian perubahan iklim, termasuk menjadikan kampus universiti sebagai makmal hidup bagi menerajui amalan serta inovasi ke arah kampus rendah karbon.

Beliau turut menegaskan bahawa aspirasi UPM untuk mendapat pengiktirafan di peringkat dunia perlu dibina atas kekuatan akademik, kredibiliti penyelidikan, pengaruh serta impak terhadap permasalahan kemanusiaan dan bukan semata-mata berdasarkan kedudukan penarafan antarabangsa.

PSUPM 2026–2030 menggariskan empat domain strategik iaitu Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kesihatan Planet dan Kelestarian; Universiti Diiktiraf Dunia; serta Kesejahteraan Warga dan Jiwa Putra.

Keempat-empat domain itu akan digerakkan menerusi lima pemacu transformasi dan enam pemboleh daya institusi bagi memastikan pelaksanaan pelan strategik dapat diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang memberi impak.

Pelan berkenaan turut menjadi landasan penting UPM menuju sambutan 100 tahun penubuhannya pada 2031, dengan pelaksanaannya memerlukan komitmen dan kerjasama seluruh warga universiti.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:40


Subuh

05:50


Syuruk

07:01


Zohor

13:03


Asar

16:25


Maghrib

19:00


Isyak

20:14

Sumber: e-Solat JAKIM