Home / Kampus / UTM bantu anak petani lanjut pengajian ke menara gading

UTM bantu anak petani lanjut pengajian ke menara gading

oleh Editorial KampusKini

PENAMPANG– Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmen membantu pelajar daripada keluarga yang memerlukan menerusi Program Ziarah Kasih UTM, termasuk membantu Fedylia Linius, anak bongsu daripada 10 beradik, yang bakal melanjutkan pengajian ke universiti itu.

Fedylia, yang merupakan anak pertama dalam keluarganya berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, akan mengikuti program Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik dengan Kepujian di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) UTM.

Naib Canselor UTM Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata usaha membantu pelajar seperti Fedylia penting bagi memastikan kekangan latar belakang keluarga tidak menjadi penghalang untuk mereka melanjutkan pendidikan tinggi.

Beliau berkata kedua-dua ibu bapa Fedylia yang berusia lebih 60 tahun masih mengusahakan pertanian dan menjual hasil tanaman di tamu setiap dua hari sebagai sumber pendapatan keluarga.

“Pertemuan bersama Fedylia dan keluarganya hari ini mengingatkan kita bahawa di sebalik kejayaan seorang anak, ada usaha dan pengorbanan ibu bapa yang sentiasa mengiringinya,” katanya ketika menziarahi keluarga Fedylia di Kampung Kibunut, di sini, hari ini.

Fedylia sebelum ini melanjutkan pengajian diploma di Politeknik Kuching sebelum menerima tawaran melanjutkan pengajian ke UTM, yang menjadi pilihan pertamanya.

Sebagai persediaan memulakan pengajian, Fedylia menerima sumbangan keseluruhan RM1,500, masing-masing RM1,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan RM500 daripada UTM.

Dalam pada itu, Prof Mohd Shafry berkata UTM turut akan membantu usaha mendapatkan biasiswa bagi Fedylia bagi memastikan urusan pengajiannya dapat dipermudahkan.

Beliau berkata pendekatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha universiti memastikan kebajikan pelajar terus diberi perhatian, khususnya pada peringkat awal mereka memulakan pengajian.

“Selamat datang ke keluarga besar UTM, Fedylia. Semoga dipermudahkan segala urusan dan selamat maju jaya dalam pengajian,” katanya.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *