MARANG— Seramai 90 warga Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyertai Program Pengukuhan Pasukan (Team Building) HEPA UMT 2026 di Kampus UMT Bukit Kor, di sini, hari ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata program berkenaan penting dalam memperkukuh semangat kerja berpasukan, selain meningkatkan hubungan dan komunikasi antara warga HEPA.
“Program ini bukan sahaja memberi ruang kepada warga HEPA untuk beriadah dan berehat daripada rutin kerja, malah menjadi platform untuk kita mengeratkan hubungan, meningkatkan komunikasi serta membina semangat kebersamaan dalam satu pasukan.
“Suasana kerja yang harmoni dan saling menyokong amat penting bagi memastikan setiap warga dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga universiti,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pelbagai aktiviti santai, riadah dan kemahiran berkumpulan yang dirangka turut memberi peluang kepada peserta untuk bekerjasama serta membina kesepaduan dalam suasana yang lebih santai.
“Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi warming up, brisk walk ke Taman Herba, aktiviti merumput di Laman Kopi, membawa pokok kopi, aktiviti di Laman Bawang Pangan serta penanaman pokok kayu manis.
“Aktiviti seperti ini memberikan pengalaman yang berbeza kepada peserta kerana selain menggalakkan kerjasama, ia turut memberi pendedahan berkaitan alam sekitar dan pertanian,” katanya.
Menurutnya, program turut diserikan dengan permainan berkumpulan yang menguji aspek komunikasi, kerjasama dan kesepaduan dalam kalangan peserta.
“Setiap aktiviti memerlukan peserta untuk berkomunikasi, saling membantu dan memainkan peranan masing-masing. Elemen seperti ini secara tidak langsung dapat memperkukuh kepercayaan dan hubungan sesama warga HEPA,” katanya.
Beliau berkata penyertaan 90 warga HEPA dalam program itu membuktikan komitmen warga jabatan untuk membentuk pasukan yang lebih mantap, positif dan berdaya saing.
Sesi penyampaian hadiah kepada peserta turut diadakan sebagai penghargaan terhadap komitmen dan semangat yang ditunjukkan sepanjang program.
“Harapan saya agar semangat kebersamaan yang dibina menerusi program ini dapat diteruskan dalam tugasan seharian dan menjadi budaya kerja warga HEPA UMT,” katanya.
Photo credit: Universiti Malaysia Terengganu (UMT)


Leave a Reply