BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-69 menerusi Program MUST MOVE Merdeka Bersama Komuniti yang menghimpunkan warga universiti dan masyarakat setempat dalam aktiviti kecergasan serta pengisian semangat patriotisme.
Program anjuran Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat (PPKK) dengan kerjasama Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti (PSKU) serta Pejabat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC) itu bermula di Dataran Dewan Sultan Ibrahim (DSI), kampus induk sebelum berakhir di Dewan Terbuka, Taman Universiti.
Program dimulakan dengan sesi regangan dan senamrobik sebelum peserta menyertai aktiviti Brisk Walk bersama Naib Canselor UTHM Prof Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, sebagai usaha menggalakkan amalan hidup aktif dan sihat dalam kalangan warga universiti serta komuniti.
Mas Fawzi berkata aktiviti kecergasan seperti itu bukan sekadar memberi manfaat kepada kesihatan fizikal, malah perlu dijadikan sebahagian daripada budaya hidup dan budaya kerja warga UTHM.
“Program seperti ini mungkin kelihatan ringkas, kita berkumpul, bergerak, berjalan, bersenam dan bertegur sapa sesama kita.
“Namun, di sebalik aktiviti ini terdapat satu mesej yang sangat besar, iaitu kepentingan menjaga kesihatan. Dalam kita menjaga prestasi dan kualiti kerja, jangan sesekali lupa, kita juga perlu menjaga kesihatan diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata penglibatan komuniti dalam program berkenaan turut mencerminkan hubungan rapat antara UTHM dengan masyarakat sekitar Parit Raja yang menjadi sebahagian daripada ekosistem universiti.
Menurutnya, semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui usaha membina masyarakat yang sihat, bersatu padu dan saling menyokong, selain tidak terhad kepada penghayatan sejarah perjuangan negara.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja Nor Rashidah Ramli berkata penglibatan masyarakat dalam sambutan Bulan Kebangsaan memberikan pengertian lebih besar apabila semangat patriotisme diraikan secara bersama tanpa batasan institusi.
“Semangat kemerdekaan bukan hanya tentang mengenang sejarah perjuangan terdahulu, tetapi bagaimana kita sebagai generasi hari ini mengisi kemerdekaan dengan perkara yang bermanfaat.
“Aktiviti sihat seperti ini dapat membentuk masyarakat yang lebih cergas, positif dan bersatu padu,” katanya ketika merasmikan program itu.
Beliau berkata hubungan antara UTHM dan komuniti Parit Raja perlu terus diperkukuh memandangkan kedua-duanya merupakan sebahagian daripada ekosistem yang saling melengkapi.
Kemuncak program menyaksikan penyerahan bendera Malaysia oleh Mas Fawzi kepada wakil pemimpin komuniti Zamri Musa, sebagai simbolik penyaluran semangat kemerdekaan daripada warga universiti kepada masyarakat setempat.
Program itu turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara UTHM dan komuniti, selain menyemai semangat patriotisme serta menggalakkan amalan hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Photo cresit: FB Universiti Tun Hussein Onn Malaysia UTHM


Leave a Reply