Oleh Ahmad Safarman Dollah
KOTA BHARU – Baru sebulan berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera di sini, namun murid tahun lima, Ahmad Fahim Wafiyyuddin Ahmad Safarman, 11, sudah menyerlah menerusi penglibatan aktif dalam pelbagai program dan persembahan sekolah.
Lebih mesra disapa Wafiy, murid bertubuh kecil itu mencuri perhatian warga sekolah menerusi bakat dalam bidang nyanyian, lakonan, deklamasi sajak dan pengucapan, selain aktif menyertai pelbagai program pembangunan sahsiah.
Antara persembahan terbaharunya ialah menyampaikan lagu Langkah Seiringan pada majlis persaraan guru prasekolah SK Mentera, Khalipah Salleh, yang berlangsung baru-baru ini.
Guru Besar SK Mentera, Ruzaini Ab Sattar berkata Wafiy mempunyai keyakinan diri yang tinggi, semangat belajar yang luar biasa dan tidak takut mencuba perkara baharu.
“Penglibatan aktif Wafiy bukan perkara baharu kerana sebelum berpindah ke SK Mentera, beliau sudah mempunyai pengalaman dalam pelbagai aktiviti termasuk bercerita, gimik pelancaran, drama, nyanyian dan program pembentukan sahsiah,” katanya.
Menurut beliau, Wafiy turut mempunyai pengalaman dalam bidang teater menerusi penyertaan dalam drama pentas Meranduk Ombak sempena Festival Lakon Layar FLLAsh peringkat negeri Kelantan dan Tikar Mengkuang Nenek pada Festival Teater Kanak-kanak Negeri Kelantan.
Wafiy juga pernah menyertai pertandingan Dai Cilik peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli serta program sastera termasuk Sayembara Deklamasi Puisi Sains dan Teknologi 2025 anjuran GEMA dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Dalam bidang nyanyian, beliau mampu membawakan lagu dalam bahasa Melayu dan Arab, selain menguasai lagu dikir barat serta pernah menyertai Pertandingan Bintang Cilik sempena Pesta Buku Negeri Kelantan.
Pengalaman menyertai pelbagai pertandingan dan persembahan itu membantu Wafiy mengatasi rasa gementar serta membina keyakinan diri untuk tampil di hadapan khalayak.
Bakatnya turut terserlah di luar sekolah apabila terlibat dalam persembahan di Awesome Festival 2026 di Lotus Kota Bharu serta beberapa program anjuran DBP Wilayah Timur.
Selain bidang seni dan persembahan, Wafiy turut aktif dalam aktiviti lain termasuk pertandingan mewarna, My Robotic Challenge (MYRC) peringkat kebangsaan serta program inovasi dan pendidikan kaunseling kerjaya.
Beliau juga mempelajari tarian tradisional seperti zapin dan joget, terlibat dalam drama dan persembahan dikir barat serta aktif bermain bola sepak.
Wafiy kini menyimpan impian untuk mewakili pasukan bola sepak sekolah, di samping terus mengembangkan bakatnya dalam bidang seni dan persembahan.
Kisah Wafiy membuktikan usia muda bukan penghalang untuk menyerlahkan potensi, sebaliknya keberanian mencuba, kesungguhan belajar dan keyakinan diri mampu membuka ruang kepada lebih banyak pengalaman serta kejayaan.


Leave a Reply